Monday, March 28, 2011 | By: nursha

Asas Seni Reka

Unsur Seni

Unsur seni terdiri daripada enam elemen asas yang penting dalam penggubahan sesuatu karya seni visual iaitu:



1. Garisan
- Garisan ialah satu deretan titik yang bersambung-sambung yang mempunyai jarak tertentu
- Garisan boleh diolah untuk mencipta rupa, jalinan, ton, corak, dan untuk menimbulkan bentuk, ruang, dan pergerakan.

2. Rupa
- Rupa adalah hasil pertemuan titik hujung dengan titik mula
- Rupa adalah kawasan rata yang dilingkari garisan luar
- Terdapat 2 jenis rupa iaitu:
a- Rupa geometri – bersudut seperti segi tiga, segi empat, pyramid, bulat dsb.
b- Rupa organic – rupa bebas yang tidak bersudut seperti rupa daun, buah, batu dsb.

-Rupa boleh diolah dalam bentuk:
a- Rupa positif – rupa objek yang terletak di sesuatu kawasan
b- Rupa negative – ruang di sekeliling rupa sesuatu objek.

3. Bentuk
- Bentuk mempunyai keluasan, ketinggian, jisim dan lebih daripada satu permukaan

- Terdapat 2 jenis bentuk iaitu:
a- Bentuk konkrit – bentuk objek sebenar yang bersifat 3 dimensi iaitu boleh disentuh, dilihat, dan dirasai. (bukan berbentuk gambar)
b- Bentuk ilusi – bentuk visual yang bersifat 2 dimensi yang digambarkan melalui lukisan atau catan.

4. Jalinan
- Jalinan ialah kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu benda

- Terdapat 2 jenis jalinan iaitu:
a- Jalinan sentuh – jalinan yang dapat dirasai dengan sentuhan/tangan seperti kolaj, arca, dan catan teknik impasto
b- Jalinan tampak – jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasai dengan tangan seperti corak batik, jalur buah tembikai dan gambar foto.

5. Ruang
- Ruang ialah kawasan kosong di sekeliling objek, jarak antara dua objek, atau rongga dalam sesuatu objek.

-Terdapat 2 jenis ruang iaitu:
a- Ruang nyata – ruang sebenar yang terdapat pada bentuk-bentuk konkrit
b- Ruang tampak – ruang yang hanya dapat dilihat dalam seni tampak seperti lukisan, catan dan cetakan (bukan sebenar)


6. Warna
- Terdapat 3 jenis warna iaitu:
a- Warna asas – iaitu merah, biru, dan kuning (tidak boleh dihasilkan dengan campuran warna lain)
b- Warna sekunder – iaitu campuran dua warna asas (Hijau ‘Biru + Kuning’, Jingga ‘Kuning + Merah’ dan Ungu ‘Merah + Biru’)
c- Warna tertier – iaitu campuran warna asas dengan warna sekunder

- Terdapat 3 gubahan warna iaitu:
a- Warna harmoni- warna bersebelahan dalam roda warna (warna sekeluarga, selesa dan seimbang)
b- Warna penggenap – warna yang bertentangan dalam roda warna (menimbulkan kesan segar, kaya, kontra, getaran dan pergerakan)
c- Warna sewarna – hanya satu warna yang mempunyai pelbagai ton (daripada terang kepada gelap)

- Terdapat 2 suhu warna iaitu:
a- Warna panas – warna antara warna merah ungu hingga kuning hijau pada roda warna (menimbulkan kesan bertenaga, garang, harapan, perang, meriah dsb)
b- Warna sejuk – warna antara hijau hingga ungu pada roda warna (menimbulkan kesan sejuk, sedih, damai dan tenang)





Prinsip Rekaan

Harmoni wujud di alam sekeliling apabila munculnya susunan atau ulangan unsur-unsur seni mengikut cara atau gaya yang tertentu. Tujuan menghasilkan kesan harmoni adalah untuk menarik perhatian pada sesuatu gubahan, objek atau imej.



Kontra wujud apabila salah satu daripada unsur-unsur seni mempunyai ciri-ciri yang bertentangan di antara satu sama. Ianya bertujuan untuk menimbulkan kesan yang menarik pada sesebuah karya seni. Kontra berkait rapat dengan penegasan (semakin tinggi kadar kontra semakin jelas penegasan).


Penegasan ialah sesuatu yang boleh menarik perhatian dan tumpuan kepada pemerhatian tampak. Ianya berfungsi sebagai daya penarik, pemusatan karya, mengelak kebosanan dan menjadikan gubahan lebih menarik.


Imbangan ialah keadaan gubahan yang sama sempadan, sama berat dan graviti, sama kecerahan warna, sama padan dan sama gaya penampilan.Terdapat tiga jenis imbangan iaitu imbangan simetri, tidak simetri dan imbangan semua arah.


Pergerakan wujud apabila terdapatnya keadaan yang bergetar,bergoyang, bergegar, berayun, bersinar-sinar dan sebagainya. Pergerakan bertujuan untuk memberi ‘nyawa’, rupa dan bentuk visual dalam seni tampak dua dimensi.


Kepelbagaian merupakan keadaan penggabungan pelbagai gaya, nilai dan idea yang berbeza. Susunan atau ulangan unsur-unsur seni yang bertentangan arah dan berbeza saiznya akan mewujudkan kepelbagaian.


Kesatuan merupakan olahan motif atau ulangan unsur-unsur seni secara sistematik, berpandukan grid berdasarkan tema atau idea sesuatu hasil karya. Susun atur yang kemas, teratur, lengkap dan sempurna dapat mewujudkan kesatuan.

Sumber: